Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahma mewakili Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang merasmikan Karnival Baca Perdana di pusat beli-belah MyTOWNKL pada Jumaat. Foto Kementerian Perpaduan Negara (FB)

Pupuk minat masyarakat, pusat beli-belah digalak sedia ruang membaca

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Pusat beli-belah di seluruh negara digalak menyediakan ruangan membaca serta kedai buku bagi memupuk minat itu dalam kalangan masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan perkembangan positif apabila Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia mendapati mereka membaca sekurang-kurangnya 24 naskhah tahun lalu.

Pusat beli belah perlu sedia lebih banyak ruang membaca, kedai buku | TVS

Menurutnya, 69.9 peratus rakyat Malaysia membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan ke arah pembentukan masyarakat berpengetahuan tinggi setanding negara maju lain.

“Kajian mendapati rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua naskhah pada 2005 meningkat kepada 15 naskhah pada 2014 dan 24 naskhah pada tahun lepas.

“Kajian juga menunjukkan bahawa sejumlah besar rakyat Malaysia gemar membaca di kedai buku dan restoran serta kafe siber,” katanya menerusi teks dibacakan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam-Zam Ahmad bagi merasmikan Karnival Baca Perdana di pusat beli-belah MyTOWNKL di sini, pda Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Salasiah Abdul Wahab.

Selain itu katanya, industri penerbitan negara khususnya buku fizikal masih relevan dan mendapat permintaan menggalakkan daripada pembaca walaupun persekitaran media elektronik sedang menguasai kehidupan masa kini.

“Pada tahun lalu penerbit buku telah memohon kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sebanyak 27,972 International Standard Book Number (ISBN) bagi penerbit buku fizikal.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 50.06 peratus atau 9,332 permohonan berbanding 2022,” katanya.

Melihat kepada perkembangan positif itu, beliau menyeru syarikat penerbitan menerbitkan lebih banyak bahan bacaan.

“Kajian menunjukkan bahawa 72 peratus rakyat Malaysia berminat membeli bahan bacaan dengan memperuntukkan sehingga RM500 setahun bagi tujuan itu,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan Malaysia juga sedang meneliti Dasar Buku Negara (DBN) untuk ditambah baik mengikut keperluan semasa memandangkan dasar sedia ada telah diwujudkan sejak 27 November 1985.

Sementara itu, Karnival Baca Perdana dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara melalui PNM bagi mempromosikan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, penganjuran karnival bertemakan Perpaduan dalam Pembacaan juga bertujuan menyatukan komuniti Malaysia dalam sebuah program yang bukan hanya memfokuskan kepada budaya membaca tetapi mengandungi elemen perpaduan dan semangat komuniti. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan