KUCHING, 19 Sept: Kerajaan Persekutuan disaran untuk mempertimbang usaha mendapatkan semula dokumen rasmi dan tidak rasmi mengenai Malaysia yang masih disimpan di luar negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata kegagalan untuk memperoleh rekod-rekod tersebut berpotensi membawa kepada kehilangan hak kepentingan melindungi negara dan rakyat di masa depan.
Menurutnya, kos untuk memperoleh semula rekod-rekod tersebut adalah terlalu tinggi.
“Masih banyak rekod-rekod mengenai Malaysia yang berada di luar negara perlu diperolehi kerana ianya amat penting untuk dijadikan bukti bagi negara mempertahan hak kedaulatan kawasan, sempadan atau wilayah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 yang bertemakan ‘Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara Bangsa’, yang diadakan di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Jelas beliau, dokumen-dokumen itu adalah seperti fail-fail pentadbiran, laporan dan perjanjian mengenai Malaysia.
Aaron berkata sejarah pembangunan negara adalah asas dalam membentuk identiti dan semangat sebagai rakyat negara ini.
“Sejarah juga memberikan kita panduan untuk masa depan. Dengan mempelajari kejayaan dan kegagalan masa lalu, kita boleh membuat keputusan yang lebih bijak dan berstrategi dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Arkib Negara Malaysia berperanan dalam memelihara dokumen-dokumen sejarah penting berkaitan pembangunan negara, termasuk dokumen kerajaan, surat-menyurat rasmi, dan bahan-bahan sejarah yang lain.
Menurutnya, entiti itu membantu dalam memelihara identiti kebangsaan, selain menyediakan sumber maklumat untuk penyelidikan dan pendidikan, serta melindungi warisan budaya negara.
“Pemeliharaan ini memastikan bahawa rekod-rekod ini tetap dalam keadaan baik dan boleh diakses oleh generasi akan datang,” katanya. -TVS.