Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto fail Bernama

Tuduhan JK HARMONI sebagai agenda pluralisme adalah keterlaluan – Aaron

ByWilly Jali

KUCHING, 11 Sept: Tuduhan berkaitan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) sebagai agenda pluralisme agama di bawah kerajaan disifatkan keterlaluan dan tidak benar sama sekali, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Menurutnya, jawatankuasa ini ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu pada 14 Ogos 2020 dan merupakan satu-satunya platform untuk merapatkan jurang antara badan-badan agama Islam dan selain Islam serta berkongsi pandangan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Aaron menegaskan dua fungsi utama jawatankuasa ini adalah mencadangkan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan strategi bersesuaian serta berteraskan nilai-nilai murni keagamaan demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama.

Selain itu, ia termasuklah bertujuan melaksanakan secara bersama aktiviti kesedaran dan keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat.

“Untuk makluman, JK HARMONI bersidang dua kali setahun dan dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Perpaduan Negara dan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan keahlian seramai tiga orang yang terdiri daripada wakil agensi dari Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

“Ini termasuk penganut agama islam seramai sepuluh orang dan 15 orang mewakili penganut selain Islam dan terdapat tiga biro utama iaitu Biro Pengurusan Program dan Promosi; Biro Pendidikan dan Penerangan; dan Biro Pengurusan Isu dan Mediasi yang bertujuan untuk memastikan gerak kerja yang lebih efektif dalam melaksanakan inisiatif keharmonian antara agama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai tuduhan Che GuBard menyatakan bahawa kehadiran anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ke Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) melalui Program Harmoni MADANI melibatkan aktiviti ritual dengan tujuan untuk menyamaratakan agama lain dengan Islam.

Tegasnya, pelaksanaan Program Jejak Harmoni merupakan salah satu program di bawah Inisiatif Harmoni MADANI tidak langsung menyentuh tentang akidah atau amalan ritual mana-mana agama sekaligus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya.

“Pelaksanaan Inisiatif Harmoni MADANI mengetengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu Faham, Hormat dan Terima bagi memastikan budaya keharmonian antara masyarakat sentiasa terpelihara.

“Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) tahun 2022 mencatat nilai 0.629 menunjukkan perpaduan nasional berada pada tahap sederhana dan terkawal.

Sehubungan itu, Aaron berkata, agama turut menjadi salah satu defisit sosial kerana kurang sensitiviti serta kefahaman berkenaan agama yang berbeza memberi kesan kepada hubungan dan interaksi masyarakat.

Tambahnya, pengurusan isu dan cabaran menyentuh konteks perpaduan memerlukan pendekatan dan inisiatif berterusan bagi memastikan keadaan perpaduan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menjadikan keharmonian antara penganut agama sebagai agenda utama dalam meningkatkan keharmonian rakyat di negara ini.

“Pada 8 Ogos 2024, JK HARMONI telah meluluskan cadangan Piagam Harmoni Malaysia sebagai medium perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia merangkumi enam prinsip, 12 nilai keharmonian, 32 panduan dan sembilan hala tuju,” ujarnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan