KUCHING, 9 Sept: Sarawak akan menjadi tuan rumah Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2024.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, persidangan tersebut bakal berlangsung dari 12 dan 13 September di Kuching.
“Seramai 42 delegasi persidangan yang terdiri daripada 15 speaker, 14 timbalan speaker, seorang ketua pentadbiran Parlimen, 12 setiausaha Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Negeri akan berhimpun pada persidangan tersebut.
“Ia bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim antara speaker selain menjadi platform memperkasa peranan institusi speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang mewakili suara rakyat,” katanya pada sidang media di Kompleks DUN Sarawak hari ini.
Menurut Asfia, sebanyak tiga kertas kerja akan dibentangkan pada persidangan tersebut.
“Kertas kerja pertama menyentuh mengenai persoalan adakah Dewan Negara sebuah institusi rubber stamp yang akan dibentangkan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
“Yang kedua dibentangkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul mengenai pengukuhan berparlimen melalui penglibatan awam,” ujarnya.
Asfia pula akan membentangkan kertas kerja ketiga mengenai pindaan peraturan mesyuarat DUN Sarawak.
Sebelum ini Awang Bemee berkata, beliau akan memastikan hak semua lapisan masyarakat di negara ini disuarakan secara adil di dewan tersebut.
Tambahnya, perkara tersebut perlu dibangkitkan dengan harmoni tanpa sebarang perbalahan oleh ahli dewan.
Untuk rekod, kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah bagi persidangan tersebut ialah 28 tahun lepas iaitu pada 1996.-TVS


