NEW DELHI, 9 Sept: India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju untuk bekerjasama dalam penyelenggaraan dan operasi Loji Kuasa Nuklear Barakah, yang dibina oleh Abu Dhabi dengan bantuan Korea Selatan.
Syarikat Tenaga Nuklear Emirates (ENEC) dan Nuklear Power Corporation of India Limited (NPCIL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Isnin semasa lawatan rasmi Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khalid Bin Mohamed Bin Zayed Al Nahyan ke New Delhi.
Loji Kuasa Nuklear Barakah memiliki empat reaktor APR1400 yang direka oleh Korea Selatan dengan jumlah kapasiti 5.6 gigawatt.
India dan UAE menandatangani lima perjanjian semasa lawatan putera mahkota itu untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga dan perniagaan, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India.
Antara perjanjian itu melibatkan bekalan jangka panjang gas asli cecair (LNG) antara Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) dan Indian Oil Corporation Limited.
ADNOC juga menandatangani MoU dengan India Strategic Petroleum Reserve Limited (ISPRL).
Perjanjian lain melibatkan perjanjian konsesi pengeluaran untuk Abu Dhabi Onshore Block 1 antara Urja Bharat dan ADNOC.
Satu lagi MoU ditandatangani antara kerajaan negeri Gujarat dan Abu Dhabi Developmental Holding Company PJSC (ADQ). -TVS



