KUCHING, 8 Ogos: Kementerian Komunikasi bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang meneliti usaha meningkatkan pendapatan golongan wartawan dengan mengenal pasti agensi media mendaftar dalam program dasar gaji progresif.
Menterinya, Fahmi Fadzil optimis pelaksanaan gaji progresif akan membantu para pengamal media itu dalam pasaran buruh Malaysia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.
Menurutnya, pihaknya akan membantu agensi media yang terlibat dengan mengenal pasti kaedah yang bersesuaian termasuk agensi yang belum lagi mendaftar dalam program dasar gaji progresif.
“Jadi saya cuba berhubung dengan pihak KESUMA untuk mengenal pasti sekiranya ada syarikat-syarikat media mendaftar untuk program dasar gaji progresif.
“Harapan saya sekiranya ada yang telah terlibat kita akan bantu mungkin dengan cara-cara yang bersesuaian untuk libatkan yang lain yang mungkin belum lagi terlibat dalam program dasar gaji progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Makan Tengah Hari Eksklusif bersama ahli Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di Restauran Reef di Kuching pada Khamis.
Tambahnya, pihak kerajaan telah memperuntuk sebanyak RM50 juta sebagai insentif untuk syarikat-syarikat yang turut serta dalam program tersebut.
Sehubungan itu, Fahmi menjangkakan sekiranya terdapat s 1,000 syarikat dapat mendaftar dengan program tersebut maka ia mampu membantu sehingga sejuta pekerja dalam pasaran buruh di Malaysia.
“Saya rasa mekanismanya telah ada dan memang ada sejumlah syarikat yang telah mendaftar.
“Kerajaan memperuntuk RM50 juta sebagai insentif untuk syarikat-syarikat yang turut serta dalam program ini dan kita jangka hasil daripada usaha ini sekiranya seribu syarikat dapat mendaftar ia akan dapat membantu sehingga satu juta pekerja dalam pasaran buruh di Malaysia,” jelasnya. – TVS



