KUALA LUMPUR, 29 Julai: Rang Undang-Undang (RUU) Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 memfokuskan kepada aspek pemansuhan Akta 217.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, perkara lain yang bersangkutan penukaran status Pelabuhan Bintulu dan implikasinya akan dijelaskan dengan lebih terperinci melalui pembentangan RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 yang akan dilaksanakan bagi pembentangan seterusnya.
Proses penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak selesai sepenuhnya 2025
Jelas beliau, kedua-dua RUU itu akan dikuatkuasakan setelah keseluruhan perkara-perkara yang berkaitan, rundingan dan persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah dimuktamadkan.
“(Ini) untuk memastikan segala kepentingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak membabitkan sudut perundangan, kewangan dan sumber manusia terpelihara.
“Pada masa sama, kerajaan juga komited dengan penggubalan RUU ini bagi melaksanakan penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri Sarawak dan memastikan pembangunan dan operasi Pelabuhan Bintulu tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Akta Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu menjadi Suatu Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Dewan Negara: Pelabuhan Bintulu kendalikan lebih 40 juta tan kargo setahun
Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Ali Basah kemudian meneruskan sesi dengan membuka perbahasan kepada tujuh Ahli Dewan Negara.
Jelas Hasbi, secara umumnya RUU berkenaan merangkumi dua fasal iaitu Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan memberi menteri kuasa untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan manakala Fasal 2 pula bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pemansuhan Akta 217 dan perintah-perintah yang dibuat di bawahnya. -TVS.