KUCHING, 6 Jun: Jasad penerima anugerah tertinggi negara Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), Koperal (B) Etin Jam tiba di Dewan Suarah di sini kira – kira pukul 1 petang tadi.
Terdahulu, keranda mendiang diterbangkan dari Miri menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Keranda mendiang turut dibalut dengan Jalur Gemilang sebagai menghargai jasa dan pengorbanan kepada negara.
Mendiang akan disemadikan di Makam Pahlawan, di sini, esok.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijangka hadir memberi penghormatan terakhir pada sekitar jam 2.30 petang ini.
Turut dijangka berbuat demikian ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah telah memberi penghormatan terakhir pada sekitar 1.30 petang Khamis.
Mendiang Etin yang berumur 83 tahun meninggal dunia di Hospital Miri kelmarin akibat penyakit kanser paru- paru.
Pada 6 Julai 1972 atas jasa dan pengorbanan semasa berkhidmat dalam PDRM, Etin telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) oleh Yang di-Pertuan Agong kelima, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Berikutan kematian Etin, hanya tinggal tiga lagi penerima warga emas anugerah SP di negara ini. -TVS.



