KUCHING, 5 Mei: Ahli Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) disaran supaya menguasai bidang teknologi yang memainkan peranan besar dalam dunia perniagaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu perlu dilakukan kerana tiada cara lain untuk terus memacu perniagaan pada masa ini.
Tambah beliau, penguasaan bidang digital serta teknologi oleh komuniti perniagaan di Sarawak akan memberi nilai tambah kepada sumber sedia ada yang dimiliki.
“(Oleh) sebab itu saya bersetuju untuk bekalkan mesin (kejuruteraan) kepada DUBS dengan peruntukan RM6.5 juta supaya mereka dapat mengenal pasti dan menguruskan jentera serta seterusnya melaksanakan projek-projek yang ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran DUBS di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, apabila DUBS menguasai bidang tersebut, mereka akan menjadi pilihan untuk melaksanakan projek besar serta projek sakit yang sering bertukar kontraktor.
“Kita kekurangan orang untuk melaksanakan projek besar yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Di manakah (peranan) ahli DUBS termasuklah ahli perniagaan di Sarawak seperti Iban dan Orang Ulu,” soal Abang Johari.
Tambah Abang Johari, banyak projek yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada kontraktor Bumiputera menjadi projek sakit kerana diberikan pula kepada orang lain.
“Contohnya jalan di Limbang ke Gunung Buda tidak dapat disiapkan kerana diberi kepada tiga sub kontrak yang akhirnya menjadi projek sakit,” tambah Abang Johari.
Sehubungan itu Abang Johari berkata, sekiranya DUBS boleh mengendalikan mesin dengan mengambil kursus disediakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), maka projek yang dianugerahkan tidak perlu diserahkan kepada pihak lain.
Kerajaan Sarawak sebelum ini telah memperuntukkan RM100,000 kepada Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Kuching untuk membeli kelengkapan jentera khususnya dalam sektor pembinaan.
Abang Johari berkata, penyaluran peruntukan itu bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan supaya lebih kompetitif selain boleh menyewa jentera tersebut kepada ahli-ahli DUBS yang mendapat projek.
Untuk tahun ini, Abang Johari turut mengumumkan dana perniagaan bernilai RM10 juta kepada DUBS untuk menyediakan latihan kepada ahli-ahlinya, termasuk rakan niaga di Sarawak. -TVS



