Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Negara (KPN) Dato Sri Aaron Ago Dagang. Foto Aaron Ago Dagang (FB).

Sistem e-Sepakat oleh JPNIN bantu KPN pantau pengurusan isu perpaduan

ByRegina Lee

KUCHING, 6 April: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menguruskan isu perpaduan di peringkat akar umbi melalui sistem e-Sepakat.

Menterinya, Dato Sri Aaron Ago Dagang dalam satu kenyataan berkata sistem e-Sepakat merupakan pusat pengumpulan data utama bagi pengurusan isu perpaduan sebagai mekanisme gerak kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu tersebut secara digital.

Menurutnya, pihaknya bukanlah sebuah agensi penguatkuasaan namun sebaliknya antara agensi sokongan yang sentiasa membantu pihak berkuasa.

Aaron menambah, KPN optimis menyokong pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam pengurusan isu perpaduan.

Beliau memberitahu KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berperanan penting dalam mengurus isu perpaduan berikutan pihaknya tiada kuasa atau peruntukan khas seperti akta untuk mengenakan sebarang tindakan dari segi perundangan.

“Kadangkala masyarakat awam tidak mengetahui tentang ini dan beranggapan KPN boleh mengambil tindakan terhadap isu-isu perpaduan khususnya isu 3R (agama, raja dan kaum) yang melanda negara kita.

“Sejumlah 47 isu perpaduan berkaitan 3R direkodkan berlaku hanya pada suku pertama pada tahun ini terutama melibatkan isu agama, kenyataan berbaur kebencian dan perkauman.

“Jumlah itu didapati meningkat 123 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 21 isu berkaitan yang dikesan menerusi sistem e-Sepakat,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Aaron mendedahkan negeri seperti Johor, Selangor dan Pulau Pinang merekodkan statistik laporan isu pergaduhan kaum tertinggi oleh PDRM.

“Statistik laporan isu pergaduhan kaum yang direkodkan PDRM juga merekodkan sebanyak 162 kes di seluruh negara dengan kes tertinggi di Johor sebanyak 53 kes, Selangor (34 kes) dan Pulau Pinang (23 kes).

“Selain itu, sebanyak 1,454 kandungan berkaitan 3R diturunkan dari platform media sosial sejak Januari hingga 31 Mac lalu yang direkodkan pihak SKMM yang mengandungi ucapan kebencian kaum (588 kes); ucapan kebencian agama (727) dan ucapan kebencian institusi diraja (139),” ujarnya lagi.

Jelas beliau, sikap hormat menghormati dan tolak ansur perlu berada pada tahap yang tinggi serta perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat di setiap peringkat.

Ini menurut beliau pemahaman adalah kunci pada suatu penerimaan yang akan menepis segala kegusaran tersebut.

Sehubungan itu katanya, setiap daripada kita bertanggungjawab dan berperanan dalam menjaga keharmonian, kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara yang dicintai. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan