KUCHING, 4 April: Taman Industri Halal MARA menjadi satu lagi platform untuk usahawan desa memperkasa dan meningkatkan imej pengeluaran produk desa ke arah lebih kondusif dan selamat selaras dengan piawaian industri halal global.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha MARA menyediakan satu ekosistem yang komprehensif seterusnya membantu usahawan luar bandar memperkemaskan produk-produk keluaran mereka sama ada dari aspek kualiti, pemasaran serta pengedaran produk.
“Menerusi inisiatif ini kita mahu mewujudkan usaha yang berdaya maju kerana banyak produk-produk luar bandar ini yang sebenarnya banyak berkualiti dapat dipasarkan hingga ke luar negara,” katanya ditemui pada majlis berbuka puasa bersama beliau pada Rabu.
Menurutnya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mahu memastikan program keusahawanan menyuntik semangat agar produk yang dihasilkan lebih berkualiti.
Taman Industri Halal terbabit bukan bertindak sebagai pusat pengumpulan produk-produk desa sebaliknya ia menyediakan kemudahan untuk usahawan desa agar berkembang lebih maju.
Usahawan terbabit juga katanya akan turut dibantu untuk mendapatkan pengiktirafan halal terhadap produk-produk yang dihasilkan sekali gus membantu meningkatkan kualiti produk berkenaan.
Malah Taman Industri Halal berperanan dalam memastikan kualiti produk yang dihasilkan juga bukan sahaja dapat menepati standard serta piawaian negara malah mampu bersaing di peringkat global. – TVS


