KUALA LUMPUR, 4 April: Lulusan doktor falsafah (PhD) turut menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan profail mangsa yang diselamatkan, pihaknya mengesan individu yang mempunyai ijazah tinggi turut terpedaya dengan sindiket berkenaan yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Bukan calang – calang (yang jadi mangsa termasuk pemegang) ijazah, paling rendah (miliki) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi naif kerana percaya umpan jenayah kerja ini yang memangsakan semua kategori iaitu luar bandar, bandar, lulusan tinggi dan biasa.
“Apabila kita tanya macam mana boleh terjebak, (jawapannya) dia (mangsa) baca iklan di aplikasi WhatsApp,Wechat, Facebook, dan Telegram yang menawarkan tempat kerja selesa, gaji lumayan dan kerja mudah (yang menyebabkan mangsa) terkesan.
“Ada juga yang menjadi mangsa selepas menerima pelawaan dari kawan – kawan mereka selain kita menyelamatkan mangsa paling muda berusia 16 tahun,” katanya pada Sesi Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri kini di peringkat akhir melaksanakan kempen anti pemerdagangan orang yang mendapat persetujuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“Akan ada paparan digital di pintu keluar sebagai ikthiar akhir, kemudian kempen berterusan kita ambil tanggungjawab bersama,” katanya.
Kepada soalan asal berkenaan, statistik terkini bilangan mangsa, Saifuddin Nasution memaklumkan, polis menerima sebanyak 326 laporan sejak September 2021 hingga sekarang.
“Jumlah mangsa ialah seramai 470 orang dan 331 berjaya diselamatkan manakala 139 mangsa masih terkandas,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, rakyat Selangor paling ramai menjadi mangsa diikuti Johor dan Sarawak. -TVS



