SEBUYAU, 4 April: Bekalan silinder LPG Petros (merah) di Sarawak sentiasa mencukupi kerana 630,000 tong tersebut diisi semula setiap bulan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata Petros Niaga sejak Disember tahun lalu telah menambah bekalan silinder LPG Petros (merah) sebanyak 460,000 tong untuk diedarkan di pasaran seluruh Sarawak.
Melalui pertambahan tersebut, ia mampu mengukuhkan lagi bekalan silinder LPG Petros (merah) di pasaran seterusnya memastikan keperluan gas bersubsidi untuk rakyat Sarawak sentiasa mencukupi, katanya.
Beliau ditemui semasa program Ziarah Ramadan dan Tanggungjawab Sosial bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Masjid Darul Aman di sini pada Rabu.
Menurutnya lagi, 1.8 juta tong gas merah dan hijau (Petronas) dianggarkan untuk diedar di seluruh Sarawak
“Kita nak tegaskan bahawa tong gas merah itu sentiasa cukup untuk kegunaan penduduk yang menggunakan gas untuk memasak.
“Petros Niaga telah membuat penambahan 460,000 tong gas merah dalam pasaran sejak Disember lepas dan ini melambangkan kesungguhan Petros Niaga untuk memastikan bahawa keperluan gas bersubsidi dengan harga RM26.60 sen setong adalah sentiasa cukup,” katanya.
Terdahulu, menerusi program tersebut, Julaihi menyampaikan sumbangan kepada 60 asnaf.
Ziarah Ramadan kali ini disertai beberapa agensi yang bekerjasama menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf di Sebangan kawasan Sebuyau.
Antara agensi yang terlibat adalah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, PETROS Niaga dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). – TVS