Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata rakyat Malaysia khususnya golongan yang celik teknologi dinasihatkan agar tidak melakukan pendaftaran PADU pada saat-saat akhir. Foto fail Bernama

Elak daftar PADU saat akhir, sistem akan sesak

ByBernama

KOTA SAMARAHAN, 2 Feb: Rakyat Malaysia khususnya golongan yang celik teknologi dinasihatkan agar tidak melakukan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) pada saat-saat akhir kerana ia akan mengakibatkan aliran trafik sistem itu sesak, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata berdasarkan jumlah rekod pengemaskinian maklumat individu terkini dalam sistem berkenaan, pihaknya mendapati lebih ramai warga emas yang telah berdaftar dengan PADU berbanding anak muda yang cenderung menguasai dunia teknologi.

“Kita lihat trend ini mungkin sebab untuk kalangan warga emas di kawasan pedalaman yang tidak celik teknologi contohnya, kita bantu mereka secara bersemuka untuk daftar PADU dan program ini mendapat sambutan yang baik.

“Namun, untuk rakyat Malaysia lain yang boleh mendaftar sendiri, mereka fikir mereka masih ada masa hingga 31 Mac. Jadi, saya berharap mereka boleh terus daftar sekarang kerana sistem ini seperti lebuh raya, kalau semua masuk pada saat akhir memang akan sesak,” katanya kepada pemberita selepas melawat reruai PADU pada Karnival Mini Usahawan Desa di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata melihat kepada tahap kesedaran rakyat Malaysia di negeri ini serta komitmen kerajaan negeri yang tinggi untuk menjayakan inisiatif berkenaan, Sarawak mampu menjadi antara yang terawal menyelesaikan pengemaskinian PADU sebelum 31 Mac ini.

“Buat masa ini, Sarawak negeri kedua tertinggi pendaftaran iaitu 310,000 orang … jadi, dengan kerjasama antara agensi kerajaan negeri dan wakil rakyat, saya jangkakan usaha untuk mengemas kini profil sosial ekonomi rakyat di Sarawak dapat kita selesaikan selewat-lewatnya pada 30 Mac,” katanya.

Setakat semalam, jumlah rekod pengemaskinian maklumat individu adalah sebanyak 2.38 juta orang daripada 30.08 juta rekod individu dalam sistem PADU berdasarkan sumber data pentadbiran.

Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Jan lepas hingga 31 Mac ini dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

Sistem berkenaan dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan