KUCHING, 2 Feb: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Bintulu menahan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) dan empat kru termasuk tekong lelaki warga Indonesia kerana disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan di zon larangan.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Mohd Iszuadi Mohamad Hassan berkata, tangkapan dilakukan di Barat Tanjung Payung, Bintulu sekitar 7:20 pagi semalam susulan menjalankan aktiviti menangkap ikan jarak lebih kurang 2.95 batu nautika.

Pemeriksaan lanjut mendapati empat kru warga Indonesia didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan dilakukan.
“Empat kru warga Indonesia termasuk tekong ditahan ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat sah lesen, melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak dibenarkan.
“Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar mematuhi undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut,” katanya. – TVS



