LIMBANG, 6 Jan: Projek pembinaan Tebingan Sungai Baharu Medamit yang sedang dilaksanakan bakal mengubah landskap pembangunan di kawasan luar bandar berkenaan setelah siap tahun ini.
Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata projek itu bukan saja memberikan akses kepada perkampungan berdekatan, malah berperanan sebagai pusat penganjuran pelbagai acara utama termasuk sukan air seperti perlumbaan bot laju, regata dan aktiviti-aktiviti menarik lain.
“Kita ada melawat kerja pembinaan Tebingan Sungai Medamit dan perkembangan projek sangat baik, tetapi adalah beberapa perkara yang perlu dilihat seperti pembinaan kemudan untuk bot dan sebagainya bagi memudahkan penganjuran lumba perahu disebelah Medamit ini,” katanya.
Timbalan Menteri Pengangkutan itu berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan kerja ke Projek Pembinaan Tebingan Sungai Medamit dan Kuala Mendalam pada Sabtu.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang.
Menurutnya, Tebingan Sungai Medamit dibina dengan kos RM5 juta bakal dilengkapi kemudahan sebuah jeti, kawasan kiosk, tandas awam, dan tempat letak kereta yang mencukupi selain berhampiran dengan Anjung Usahawan Medamit .
Hasbi menambah kerja menaik taraf jalan pedalaman dari Rumah Semena hingga Rumah Satu Kuala Mendalam di Hulu Medamit Limbang, sedang dilaksanakan dengan kos keseluruhan bernilai RM49 juta.
Selain itu Hasbi memberitahu pembinaan Jalan Kuala Mendalam itu dilaksanakan di bawah Projek Jiwa Murni sebelum ini akan dilakukan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Katanya kerja menaik taraf jalan itu perlu untuk memudahkan perhubungan beberapa rumah panjang, sebuah sekolah dan klinik kesihatan di kawasan berkenaan yang rosak sebelum ini.
“Kerajaan negeri melalui kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg banyak melaksana pembangunan menyeluruh termasuk di negeri ini,” ujarnya. -TVS