Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Orang ramai boleh membuat pendaftaran PADU menerusi URL padu.gov.my.

Orang ramai ‘serbu’ daftar PADU, laman sesawang sesak untuk diakses

KUALA LUMPUR, 2 Jan: Di sebalik kerisauan pelbagai pihak tentang jaminan keselamatan berhubung pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), orang ramai dilaporkan mula giat membuat pendaftaran hingga laman sesawangnya sesak untuk diakses.

Berdasarkan pemerhatian Bernama di media sosial, rata-rata warganet menyambut baik inisiatif kerajaan melancarkan PADU hari ini dan berpendapat langkah itu mampu memberi manfaat serta membantu rakyat.

Namun begitu, terdapat rungutan diluahkan pengguna berhubung kegagalan untuk mengakses laman sesawang PADU berikutan aliran trafik tinggi dan tidak kurang juga ada yang menyatakan urusan pendaftaran mereka ‘tersangkut’ di bahagian mendapatkan Kata Laluan Sekali Guna (OTP) SMS.

Menerusi ciapan di aplikasi X, seorang pengguna TaufiqMNi (@TaufiqMNi) memberitahu: “Banyak kali tersangkut dipengesahan e-KYC, kod 100. Capaian akses tidak sah. #PADU”.

Seorang lagi pengguna X, Ahmad Izzuddin Sapiee (@ahmadizz87) pula mencadangkan pihak yang mengemas kini sistem PADU agar menambah baik fungsi pengesahan berbilang (multiple verification) bagi memudahkan urusan pendaftaran akaun PADU untuk pengguna baharu seperti menambah kaedah verifikasi selain OTP SMS.

“Kod SMS OTP masuk lambat. Kelewatan yang agak lama dan tak sah dalam tempoh lima minit. Sistem PADU boleh ditambah baik dengan fungsi multiple user verification contoh macam nak login Gmail. Doakan fungsi multiple verification ini akan dimasukkan dalam kemas kini akan datang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam satu ciapan di X memaklumkan isu berhubung OTP yang diterima setakat ini hanya melibatkan pengguna Celcom dan tidak melibatkan pengguna telco lain.

“Perkara ini sedang dikendalikan pasukan PADU dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia),” katanya menambah pendaftaran hanya boleh dibuat di URL padu.gov.my.

Pelancaran PADU disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan