GEORGE TOWN, 1 Jan: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 146 saman kepada 110 penunggang motosikal selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan pada sekatan jalan raya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dekat E-Gate di sini, awal padi tadi.
JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, Ops Motosikal Sempena Tahun Baru 2024 selama kira-kira empat jam bermula pukul 1 pagi itu bertujuan memastikan penunggang dan pembonceng mematuhi peraturan dan undang-undang.
Katanya, operasi membabitkan 15 anggota itu juga bagi memeriksa motosikal yang melakukan pengubahsuaian untuk tujuan berlumba haram, menguji kelajuan atau merempit.
“Sebanyak 315 buah motosikal diperiksa dengan 110 penunggang dikenakan tindakan membabitkan 146 notis saman dan teknikal.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans, pamer nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ekstrem, tiada cermin sisi serta ubahsuai motosikal tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, kenyataan tersebut berkata, penunggang dan pemilik motosikal dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang selain menunggang dengan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. – TVS



