KUCHING, 22 Dis: Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat TH berjumlah RM 1.88 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak bagi tahun kewangan 2022.
Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak Datuk Nurlaila Said berharap agar pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri ini bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf.
“TH sentiasa komited dan prihatin untuk membantu golongan yang memerlukan dan usaha ini ditunjukkan melalui pembayaran zakat setiap tahun di setiap negeri.
“Ini juga merupakan tanggungjawab kami sebagai sebuah organisasi Islam yang prihatin, dengan matlamat untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah bagi manfaat golongan asnaf,” katanya.
Nurlaila berkata demikian pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan TH bagi tahun 2022 Negeri Sarawak dan Penyerahan Kenderaan Mobiliti TH Sarawak 2023 di sini pada Jumaat.
Kata Nurlaila lagi, selain pembayaran zakat, TH juga melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Zakat yang memberi sumbangan secara terus kepada asnaf-asnaf terpilih antaranya melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, kemasyarakatan dan kesihatan serta keusahawanan.
Dalam pada itu Nurlaila berkata TH akan menyumbang dua buah van jenazah kepada Masjid Darul Halim, Sibu dan Masjid Ar Rahmah, Sarikei. Serta sebuah van penumpang kepada Pusat Pendidikan Muhammad Al Fateh, Samarahan.
“TH berharap sumbangan van ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak masjid untuk keperluan qariah serta aktiviti harian mereka antaranya pengurusan jenazah, program-program daurah dan dakwah serta jemputan ceramah dan qasidah”. ujarnya lagi.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha yang turut menyaksikan penyerahan cek cura zakat pernigaan TH 2022 dan penyerahan sumbangan tiga buah kenderaan Program Mobiliti TH di sini, hari ini. – TVS