GEORGE TOWN, 22 Dis: Seorang pekerja kilang didakwa hari ini atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya dengan menetak menggunakan parang pada Selasa lalu di dalam wad hospital di sini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Ong Kok Bu, 29, dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Terdahulu, Majistret dan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin hadir ke HPP kira-kira pukul 12.40 tengah hari bagi menjalankan pertuduhan tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, Kok Bu, didakwa membunuh Lee Yen Suan, 42, di hadapan kedai Amlife Free Treatment, Jalan Taman Sin Tat di Butterworth kira-kira pukul 10.55 pagi, 19 Disember lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh diukum mati.
Tertuduh juga tidak diwakili peguam selain kes akan disebut semula 25 Mac depan bagi laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Media pada Selasa lalu melaporkan seorang wanita maut selepas ditetak dengan sebilah parang oleh seorang lelaki di Butterworth.
Mangsa berusia 42 tahun itu ditemukan berlumuran darah dengan beberapa kesan kecederaan pada belakang leher dan bahu kanan.
Suspek berusia 29 tahun yang juga anak saudara mangsa kemudiannya bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang ke dalam laut dipercayai untuk membunuh diri, namun diselamatkan nelayan.
Motif kejadian dikatakan akibat dendam dan marah suspek terhadap mangsa berkaitan perasaan cinta. – TVS