KUCHING, 20 Dis: Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan sebanyak 234 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara untuk suntikan dos penggalak.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, orang ramai boleh mendapatkan senarai PPV menerusi aplikasi MySejahtera.
Ujar beliau, bagi mendapatkan suntikan vaksin, orang ramai boleh hadir ke PPV secara walk-in atau membuat janji temu menerusi aplikasi berkenaan seperti ketika perlaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.
“Pada masa sama KKM ingin menjelaskan bahawa pengambilan vaksin COVID-19 pada masa ini adalah secara sukarela namun digalakkan terutama bagi golongan berisiko tinggi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu turut menyebut ketika ini hanya vaksin jenis Sinovac yang ditawarkan di PPV.
Malaysia mengalami lonjakan kes jangkitan apabila jumlah yang direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Disember adalah sebanyak 20,696 kes iaitu peningkatan 62.2 peratus berbanding 12,757 kes pada ME49. -TVS