Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Setakat ini, Malaysia merekodkan lebih daripada 100,000 kenderaan elektrik berdaftar. Foto hiasan, Envato.

Malaysia catat jualan kenderaan elektrik kukuh

ByBernama

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan kenderaan elektrik yang kukuh setiap tahun dan kerajaan optimis momentum positif itu akan berterusan sehingga penghujung 2023, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, setakat ini, Malaysia merekodkan lebih daripada 100,000 kenderaan elektrik berdaftar.

GWM lancar kereta EV, Pusat 4S pertama di Sarawak

“Lebih 12,000 kenderaan elektrik bateri (BEV) telah didaftarkan sejak 2011 dengan bilangan BEV yang didaftarkan pada tahun ini sahaja telah melebihi 9,000 unit,” katanya dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran awal Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024) di sini, hari ini.

Bagi tempoh 10 bulan pertama 2023, jualan kenderaan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada hampir 647,000 unit.

Tengku Zafrul berkata beliau percaya kenderaan elektrik akan menjadi pemangkin kepada eksport industri pembuatan Malaysia.

Menjelas lanjut beliau berkata produk elektrik dan elektronik (E&E) yang merupakan rantaian bekalan utama kepada sektor EV menyumbang 40 peratus daripada 80 peratus eksport Malaysia daripada sektor pembuatan.

“Oleh itu terdapat banyak potensi dalam kenderaan generasi baharu yang memerlukan lebih banyak komponen, sebagai contoh, komposit semikonduktor, komponen cip dalam kereta hari ini, malahan kereta hibrid adalah kira-kira 1500 cip dalam sesebuah kereta.

‘Dalam kereta EV, ia boleh mencapai sehingga sekurang-kurangnya 3000 cip dalam sesebuah kereta dan cip-cip ini datang daripada sektor E&E,” katanya.

Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk pelabur EV. Antara tempoh 2018 dan Jun 2023, MIDA meluluskan 59 projek EV bernilai RM26.2 bilion dan ekosistem berkaitannya untuk pemasangan kenderaan, bahagian pembuatan dan komponen pengecasan.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, untuk mempercepat Pelan Hala Tuju Peralihan Negara (NETR) yang dilancarkan pada Ogos tahun ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menetapkan sasaran nasional, yang mana 20 peratus jualan tahunan kereta baharu Malaysia akan terdiri daripada kenderaan elektrik menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.

“Komitmen MITI untuk membawa Malaysia ke hadapan dalam revolusi kenderaan elektrik boleh dilihat melalui Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020).

“NAP2020 menyediakan industri automotif tempatan hala tuju yang jelas untuk persiapan masa depan, melalui pembangunan kenderaan generasi akan datang termasuk EV yang cekap tenaga dan mesra alam,” katanya.

Sebagai sebuah ekosistem, industri automotif menyumbang kira-kira empat peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia. Menjelang 2030, kerajaan menyasar untuk mencapai RM104.2 bilion dalam sumbangan KDNK dengan jumlah pengeluaran sebanyak 1.47 juta unit kenderaan.

Tahun lepas, industri automotif Malaysia mencapai output pengeluaran lebih 700,000 kenderaan susulan permintaan yang kukuh selepas pandemik. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan