KUCHING, 11 Nov: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan akan membantu Institusi Jurutera Malaysia (IEM) cawangan Sarawak membangunkan pusat kajian kejuruteraan di Bandaraya ini.
Khabar baik itu kata Abang Johari merangkumi penyediaan peruntukan untuk pihak IEM cawangan Sarawak membangunkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di pusat berkenaan.
“Saya berjanji kepada IEM Cawangan Sarawak. Kerajaan akan membantu anda untuk memiliki pusat kajian anda dan saya akan berikan peruntukan untuk itu.
“Kita sudah kenal pasti tanah. Anda bangunkan bangunan sendiri. Bangunkan juga perkakasan dan perisian sendiri, dan cuba guna AI untuk meneroka teknologi baharu dalam kejuruteraan,” katanya pada majlis makan malam Institusi Jurutera Malaysia (IEM) cawangan Sarawak, di sini, pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar IEM cawangan Sarawak memanfaatkan teknologi AI dalam usaha meneroka sumber teknologi kejuruteraan baharu.
Abang Johari menyakini bahawa penerapan kaedah terbaharu penting bagi menggantikan sistem lama yang bakal tidak seiring dengan kemodenan selepas ini.
Selain itu, beliau optimis bahawa barisan jurutera kelahiran Sarawak mampu menghasilkan inovasi yang membawa kepada penyelesaian hijau.
“Karbon yang diperoleh daripada simen dan proses-proses pembinaan menjadi penyumbang utama kepada pencemaran alam sekitar.
Untuk menangani isu ini, anda (jurutera) digalakkan untuk beralih kepada penggunaan bahan-bahan hijau seperti kuasa hijau dan bahan binaan mesra alam semula jadi.
Inilah di mana inovasi dan penyelesaian boleh terjadi dan saya yakin jurutera-jurutera tempatan boleh lakukannya. Anda boleh berinovasi,” ujar beliau. – TVS



