Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto: Bernama.

Bahasa kolokial, dialek perlu dipertahan agar tidak pupus – Aaron Ago Dagang

ByBernama

IPOH, 26 Okt: Penggunaan bahasa kolokial (bahasa percakapan atau bahasa basahan) dan bahasa dialek dalam kalangan masyarakat perlu dipertahankan agar tidak berlaku kepupusan dek arus kemodenan dan kecanggihan teknologi.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pengaruh media sosial antara faktor yang boleh mempengaruhi penggunaan bahasa kolokial yang semakin menipis dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata perkara sebegini seharusnya tidak berlaku kerana keberdayaan sesuatu bahasa itu akan terkesan dari penggunaan bangsa yang menuturkannya.

“Natijahnya, penggunaan bahasa natif ini akan semakin berkurangan dan berlaku dalam kelompok yang kecil sahaja sehingga lama-kelamaan menyebabkan ia akan pupus dan hilang jati dirinya.

“Justeru, perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu diambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam ucapan pada program Bicara Bahasa Kolokial : Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti “Moh Labun Loghat Perak” di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof.

Program anjuran Arkib Negara Malaysia turut dihadiri Ketua Pengarahnya, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai penggunaan bahasa kolokial dalam masyarakat tempatan di Perak.

Dalam pada itu, Aaron Ago berkata kedudukan negeri Perak yang strategik dan bersempadan dengan banyak negeri antaranya Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor, Selat Melaka serta Selatan Thailand yang menyumbang kepada perkongsian budaya dan penggunaan dialek yang hampir sama dengan negeri yang bersempadan tersebut.

“Justeru, tidak hairanlah bahasa kolokial yang digunakan oleh penduduk setempat telah diresapi oleh dialek negeri yang bersempadan contohnya dialek Pattani di daerah Hulu Perak serta Larut Matang dan Selama, dialek Kedah di Taiping dan kawasan ke utara serta dialek Selangor di daerah Ipoh dan ke selatan.

“Bahasa pertuturan Perak yang asli adalah bahasa dialek yang dituturkan oleh penduduk di Kuala Kangsar dan Perak Tengah. Faktor geografi atau muka bumi, migrasi, sejarah dan demografi juga memainkan peranan penting dalam penggunaan bahasa yang dituturkan.

“Bahasa pertuturan yang digunakan memainkan peranan penting dalam pengukuhan sikap toleransi dan jalinan silaturahim yang seterusnya memperteguh ikatan perpaduan antara kaum yang menghuni di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Aaron Ago berkata usaha yang dilaksanakan Arkib Negara Malaysia dalam mendokumentasikan bahasa kolokial merupakan satu daripada usaha murni bagi memasyarakatkan warisan negara supaya ia dapat kekal dirujuk dan dihayati generasi akan datang.

“Namun begitu, Arkib Negara Malaysia tidak seharusnya memikul tanggungjawab secara bersendirian malah semua pihak perlu berganding bahu bersama-sama membantu dan bekerjasama dengan jabatan ini sama ada sebagai pertubuhan, perkumpulan, persatuan mahupun orang perseorangan.

“Bersama-samalah kita berkolaborasi menjayakan program intelektual yang mengangkat kepelbagaian budaya agar kelestarian dan keberdayaan khazanah warisan negara terus kekal dan relevan demi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan