BETONG, 15 Okt: Mayat tuai rumah, mangsa yang disambar buaya di Sungai Skrang, di Rumah Baloi Skim Skrang di sini, semalam, ditemukan pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Chaong ak Baringai, 67.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat dijumpai penduduk kampung sekitar jam 8.40 pagi dengan jarak 10 meter dari lokasi terakhir mangsa disambar buaya.
“Terdapat kesan gigitan pada bahagian leher dan kepala di sebelah kanan dan disahkan mangsa yang dicari.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis di lokasi dan dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihaknya bomba menerima laporan berhubung kes itu jam 10.28 pagi semalam dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.
Mangsa dikatakan berada di tebing sungai dan pada ketika itu sedang mengisi air ke dalam tong spray yang digunakan untuk meracun rumput di kawasan sawit dan sawah padi.
Isteri mangsa yang berada tidak jauh dari mangsa melihat kejadian tersebut dan memberitahu bahawa terdapat seekor buaya telah menyambar suaminya dan membawa mangsa ke lubok sungai anggaran jarak 200 meter ke hulu sungai tersebut.- TVS