KUALA LUMPUR, 10 Okt: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Malaysia kekal berupaya menarik kemasukan pelabur asing ke Malaysia.
Katanya, sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri beliau mengadakan 17 lawatan ke luar negara termasuk ke negara-negara ASEAN, China, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.
“Hasil lawatan rasmi saya ke China pada 29 hingga 31 Mac 2023 telah menjana nilai potensi pelaburan RM170.07 bilion iaitu merangkumi pelaburan komited RM100.33 bilion hasil sesi Meja Bulat dengan pemimpin industri dan ketua perniagaan China serta potensi pelaburan sebanyak RM69.74 bilion daripada 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat-syarikat Malaysia dan China semasa lawatan tersebut.
“Manakala lawatan kerja saya ke New York, Amerika Syarikat telah berjaya membawa pelaburan berpotensi sebanyak RM4.74 billion kepada Malaysia,” katanya Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Kar Hing yang minta Perdana Menteri menyatakan hasil lawatan ke luar negara termasuk hasil pelaburan, kerjasama antara negara dan tahap keyakinan pelaburan asing terhadap Malaysia.
Jelasnya, beliau juga telah mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 5 hingga 6 Oktober 2023 dan bertemu dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
“Malaysia dan UAE telah memberi komitmen untuk meningkatkan Perkongsian Strategik Malaysia-UAE melibatkan Sektor tenaga boleh baharu, bidang keterjaminan makanan, pelaburan-pelaburan strategik yang lain dengan memudah cara pelaburan dari pelabur-pelabur kedua-dua negara, pengembangan pusat data di Malaysia dan bidang kecerdasan buatan (AI) melalui kerjasama dengan Mohamed Zayed University of Artifical Intellegence (MBZUAI),” katanya.
UAE ketika ini adalah pelabur terbesar di Malaysia dari rantau Asia Barat dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Sehingga kini, pelaburan UAE dalam pelbagai projek pembuatan yang telah dilaksanakan di Malaysia berjumlah AS$388.8 juta (RM1.48 bilion).
Tambah beliau, dua memorandum persefahaman telah dimeterai iaitu antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pelabur Antarabangsa UAE (UAEIIC) untuk mengukuhkan kolaborasi dalam bidang pelaburan dengan objektif untuk membina kemampanan aliran pelaburan di antara kedua-dua negara dan MOU antara MIDA dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (MASDAR).
“Melalui lawatan ini, kerajaan telah berjaya menjana pelaburan komited daripada UAE berjumlah RM40.6 bilion. Ini melibatkan sektor-sektor tenaga boleh baharu, logistik dan aeroangkasa,” katanya. – TVS


