KUCHING, 22 Sept: Bengkel Literasi Braille menjadi ruang untuk merapatkan jurang antara orang ramai dan golongan kurang upaya (OKU) penglihatan dalam membina sebuah masyarakat yang inklusif.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dengan menguasai penulisan braille, individu yang bermasalah dapat mengakses maklumat yang terdapat di sekeliling mereka.
Menurut Fatimah, keupayaan golongan OKU penglihatan untuk mengakses bahan bacaan yang lebih baik merupakan elemen penting dalam pemerkasaan dan meningkatkan potensi mereka pada tahap maksima.
“Seperti yang saya sebutkan tadi untuk membina upaya seorang yang cacat penglihatan perlu tahu sistem braille.
“Kalau dia tidak pandai menggunakan sistem braille mereka akan mempunyai masalah untuk mendapatkan maklumat dan input semasa.
“Sebagai contoh,kalau kita nak memperkasakan seseorang individu mereka harus bersekolah.
“Bila bersekolah, individu tersebut akan mahir untuk membaca, menulis dan mengira.
“Itu untuk orang normal. Untuk individu yang mengalami masalah cacat penglihatan dan tidak boleh membaca, kita memerlukan satu alat atau kaedah untuk membolehkan mereka membaca iaitu melalui tulisan braille,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Literasi Braille: Menggapai Dunia Dari Jendela Ilmu Enam Titik Timbul satu eksplorasi di Galeri Pustaka Negeri Sarawak, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Fatimah mahu inisiatif memperkasakan sistem tulisan braille dalam masyarakat memerlukan sepakat semua pihak terutamanya usaha menggembeleng tenaga untuk melahirkan komuniti yang berilmu dan menjalani kehidupan secara bermaruah.
“Saya percaya untuk membantu seseorang individu kurang upaya, kita harus melihat kepada potensi dan keupayaannya.
“Dari situ, kita bina upaya tersebut sehingga ia dapat berkembang dan ini tidak dapat dilakukan oleh seseorang sahaja.
“Kita harus bekerjasama dengan persatuan, agensi dan karyawan serta pakar untuk memperkasakan komuniti celik tulisan braille.
“Ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk mendidik seorang individu yang berilmu,” ujarnya.
Untuk rekod, statistik menunjukkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), pendaftaran bagi orang kurang upaya kategori penglihatan di seluruh Sarawak sehingga September 2023 adalah seramai 5,287 orang iaitu sebanyak 11 peratus daripada statistik keseluruhan OKU berdaftar.
Seramai 50 peserta terdiri daripada orang awam menyertai Bengkel Literasi Braille: Menggapai Dunia dari Jendela Ilmu Enam Titik Timbul satu eksplorasi di Galeri Pustaka Negeri Sarawak. -TVS