MIRI, 9 Sept: Kemesraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama rakyat jelas terpancar ketika berada di bandaraya ini sempena Kembara Kenali Borneo.
Pagi tadi sewaktu berangkat tiba di sini dari Brunei menerusi pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh Kuala Baram, Seri Paduka berdua dilihat mencemar duli apabila berkenan menyerahkan sendiri pasport kepada pegawai imigresen sambil berseloroh memohon untuk dicop.
Pada sebelah petang pula, ketika melawat Kampung Pangkalan Lutong di sini, Sultan Abdullah pula sempat mengusik anakanda baginda yang juga Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Rakyat teruja, kali pertama Agong melawat Miri – Kim Shin
Seri Paduka memaklumkan putera sulung baginda itu masih berstatus bujang yang kemudian disambut gelak ketawa oleh mereka yang hadir.
Sementara itu, sekitar 1,500 penduduk di Kampung Pangkalan Lutong hadir menyambut keberangkatan tiba konvoi Kembara Kenali Borneo yang mana ada antaranya dilihat turut menyediakan sepanduk kain mengucapkan “Selamat Datang Tuanku” dan “Miri ❤️ Tuanku”.
Keberangkatan tiba Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sekitar 5.10 petang turut disambut oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dr Ripin Lamat dengan diiringi persembahan silat dan hadrah.
Sultan Abdullah kemudiannya menyempurnakan simbolik menandatangani plak sebelum Seri Paduka berdua serta Tengku Hassanal Ibrahim turut berkenan merakam gambar bersama barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pangkalan Lutong.
Selepas itu, Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri berkenan mencemar duli ke majlis santapan yang mana Seri Paduka Baginda berdua dihidangkan dengan pelbagai sajian tempatan sambil dimeriahkan dengan persembahan oleh Persatuan Jatti Miriek Miri.
Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan meluangkan masa menyaksikan aktiviti lumba perahu di sekitar tebingan sungai di Kampung Pangkalan Lutong dan beramah mesra dengan penduduk setempat.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Miri Jamalie Busri dan Pegawai Daerah Miri, Siti Rohanie Yusof. -TVS



