SERIAN, 9 Sept: Persembahan Pantomin bertenaga dengan tajuk Every Women is Beautiful yang dilakukan salah seorang dari 10 finalis Talent Night Ratu Bilanting Gillian Octavyia Vincent, 24, memukau lebih 200 pengunjung yang hadir di pekarangan Pasar Tebakang Cina Serian malam tadi.
Pelajar Tahun Akhir program Ijazah Sumber Manusia dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu melakukan tarian dengan olah badan selama lebih 15 minit menggunakan lagu Pretty on The Inside nyanyian penyanyi Tik Tok Chloe Adam.
Jelas Gillian, tariannya berserta pemilihan lagu itu mempunyai mesej yang tersendiri yang ingin disampaikan kepada penonton.
“Saya ingin tunjukkan kepada orang bahawa kecantikan itu bukan sahaja dari rupa kita tetapi kita juga harus melihat dari dalaman bagaimana tingkah laku seseorang, peribadi dia bagaimana dan kebaikan-kebaikan lain yang dilakukan,” katanya ketika ditemui TVS selepas pertandingan tersebut malam tadi.
Rakannya Selvia Lagoon James, 25, pula yang sememangnya meminati bidang lakonan menggunakan peluang itu untuk menunjukkan bakatnya sebagai seorang isteri yang kematian suami dalam drama pendek bertajuk Nuan Pergi Ndak Pulai Lagik.
“Saya mendapat inspirasi dari minat saya menonton drama, tv dan sebagainya,” ujarnya.
Dalam pertandingan Talent Night Ratu Bilanting yang berlangsung malam tadi, 10 finalis diminta menunjukkan bakat masing-masing bagi merebut gelaran Ratu Bilanting 2023 yang bakal diumumkan malam esok.
Selain Pantomin dan lakonan, peserta lain yang bertanding turut mempersembahkan nyanyian dan tarian tradisional termasuk Ngajat dan Zapin Melayu
Kesemua mereka dinilai oleh tiga Juri Profesional iaitu Pengasas Taee Beauty Pageant Michelle Maddy, Juara Ratu Kebaya Benak 2017 Marie Angela dan Juri Pertandingan Dayung/Dari (Bidayuh) dan Kumang/Keling (Iban) Gawai Bazar Serian 2022 Annie Magdalene Mading.
Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Dr. Richard Riot Jaem, Setiausaha Majlis Daerah Serian, Tay Guat Huat, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Pathe Abdul Rahman, wakil Residen Bahagian Serian, Mahyuddin Hafiz Mohamad dan Ketua Kaum Kampung Tebakang Dayak, Kranang Tanggai antara yang hadir memeriahkan pertandingan malam tadi-TVS