MIRI, 9 Sept: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Pusat Kraftangan Miri di sini petang ini.
Keberangkatan tiba baginda berdua kira – kira pukul 2.30 petang bersama rombongan Kembara Kenali Borneo disambut oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Rombangan Seri Paduka turut menerima sambutan meriah oleh hampir 2,000 rakyat yang turut melaungkan “Daulat Tuanku”.
Tinjauan TVS mendapati orang ramai di sini teruja apabila menunggu ketibaan keluarga diraja itu seawal 10 pagi tadi.
Turut mengiringi baginda berdua ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Setibanya di sini, Seri Paduka serta rombongan dihiburkan dengan persembahan Tarian Selamat Datang oleh Gah Rentak Art and Culture.
Tarian itu melibatkan gabungan penari daripada suku kaum Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Melayu dan Melanau.
Suasana unik turut diperhatikan apabila masyarakat menyarungkan busana etnik masing-masing menyambut konvoi itu.
Sebanyak 13 reruai kraf tangan dibuka selain berlangsung demonstrasi anyaman bakul dan manik.
Selesai program di situ, Al-Sultan Abdullah serta rombongan meneruskan perjalanan ke Coco Cabana dan tiba pada 3.48 petang.
Kembara baginda disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus, dan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.
Baginda berdua kemudian dihidangkan dengan santapan sebelum melawat gerai kraf tangan dan galeri Batik Linut sebelum menyaksikan demonstrasi pembuatan Batik Linut dan memasak makanan tradisi suku kaum Melanau iaitu linut.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Hii Chang Kee, dan Residen Bahagian Miri, Jamalie Busri. -TVS



