KUCHING, 9 Sept: Pelatih polis yang telah menamatkan latihan diminta memberikan contoh terbaik agar memberi impak yang positif kepada masyarakat dan menjunjung prinsip-prinsip serta nilai murni Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kesemua pelatih telah mendapat arahan pertukaran ke formasi masing-masing mulai esok dan seramai 495 mereka akan ditempatkan ke seluruh formasi-formasi termasuk di Semenanjung Malaysia.
“Kita mahu mereka ini berkelakuan mengikut peraturan dan undang-undang serta menghindarkan diri daripada melibatkan diri daripada gejala negatif. Perkara-perkara ini telah pun dtekankan semasa latihan enam bulan ini,” katanya lagi,” katanya pada sidang media di Drill Shed PULAPOL Kuching pada hari ini.
Seramai 495 orang pelatih terdiri daripada 248 pelatih lelaki dan 247 pelatih wanita Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Bil 59 Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching telah menamatkan latihan mereka hari ini.
Pada majlis tersebut, pelatih terbaik keseluruhan latihan bagi kategori wanita menjadi milik Konstabel Lai Xii Yuan, manakala bagi kategori lelaki pelatih terbaik keseluruhan latihan menjadi milik Konstabel Daireld Fredwin Jame.
Bagi pelatih terbaik latihan luar dimiliki Konstabel Nira Mohamad dan Konstabel Muhammad Syawal Mohammad Isham untuk pelatih terbaik akademik, Konstabel Freddy Fernandes Dana dan Konstabel Siti Norazniza Jefferin.
Majlis dimeriahkan dengan letupan mercun sebagai simbolik perasmian Majlis Tamat Latihan Asas Kepolisan Konstabel Siri 1/2023. – TVS