SERIAN, 9 Sept: Sebanyak 184 rakit membabitkan 784 peserta mengambil bahagian dalam cabaran berakit sempena Festival Cabaran Berakit Serian 2023 edisi ke-11 yang berlangsung pagi tadi.
Festival tahunan anjuran Majlis Daerah Serian itu yang bermula secara rasminya pada tahun 2018 menerima peningkatan angka penyertaan setiap tahun.
Menurut Ahli Parlimen Serian Dato’ Sri Dr Richard Riot Jaem, dianggarkan kira-kira 2,000 orang meliputi peserta, penyokong dan penonton membanjiri Sungai Batang Sadong di Kampung Tema Mawang, Tebedu Serian bagi menyaksikan perlepasan acara tersebut pagi tadi,
“Yang amat membanggakan adalah penyertaan dari jabatan dan agensi kerajaan dan jika kita lihat terdapat (penyertaan) dari Institut Perguruan, UNIMAS dan dalam erti kata lain penyertaan yang diterima adalah dari penyertaan dari agensi kerajaan termasuk institut pendidikan tinggi.
“Kita juga ada rakit di mana pesertanya adalah dari Kuala Lumpur dan Kelantan dan ada satu lagi rakit, peserta dia dari Indonesia. Jadi bagi saya acara ini boleh diiktiraf sebagai acara antarabangsa,” katanya selepas melakukan acara perlepasan peserta Cabaran Berakit Serian 2023 kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Cabaran Berakit Serian adalah perlumbaan berakit sejauh 25 kilometer yang bermula dari Kampung Tema Mawang dan berakhir di Kampung Tebakang Bidayuh menyusuri Sungai Batang Sadong dan Batang Kayan dengan lima kategori yang dipertandingkan.
Kategori tersebut adalah Terbuka Lelaki, Terbuka Perempuan, Terbuka Belia, Kumpulan Campuran (Lelaki dan Perempuan dari Kerajaan dan Agensi) dan Kumpulan Campuran (Lelaki dan Perempuan dari Agensi Pelancongan).
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang cabaran ini dijangka berlangsung jam 3 petang ini di pekarangan Pasar Tebakang Cina Serian-TVS