KUCHING, 8 Ogos: Kembara Borneo Dirgahayu Tuanku yang melalui Lebuhraya Pan Borneo akan berlangsung September ini.
Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Istana Negara pada Isnin.
Menerusi Facebooknya, Fadillah berkata rombongan berkenaan menyampaikan taklimat tentang kembara yang difahamkan akan membabitkan dua negeri – Sabah dan Sarawak.
Hasrat Al-Sultan Abdullah dinyatakan menerusi Persidangan Dewan Rakyat pada 13 Februari lepas.
“Adalah menjadi impian beta untuk memandu menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ini khusus untuk beta mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat beta di pedalaman Bumi Kenyalang dan Negeri Di Bawah Bayu,” titah Al-Sultan Abdullah seperti dilaporan TVS baru-baru ini. – TVS



