KUALA LUMPUR, 12 Jun: Ratu terjun negara, Dato Pandelela Rinong diangkat sebagai Ikon Perpaduan Negara baru-baru ini, ujar Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Aro Dagang.
Beliau berkata, selain seniman, pemimpin, bekas pemimpin dan legenda sukan, kementeriannya juga turut menjadikan Pandelela sebagai ikon untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Itulah hasrat Kementerian Perpaduan Negara dan kita panggil sebagai ikon perpaduan dan hal itu baru-baru ini kita adakan pameran ikon perpaduan seperti P.Ramlee, supaya legenda-legenda itu dapat diperkenalkan kepada generasi muda kini,” ujarnya pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Selain itu, legenda sukan, pemimpin, bekas-bekas pemimpin kita (KPN) adakan muzium atau memorial untuk mereka yang telah meninggalkan kita,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan yang ingin tahu sama ada kementerian berhasrat untuk menghasilkan filem pendek mengenai kisah legenda sukan bagi memupuk perpaduan seperti yang dicadangkan beliau.
“Sekarang ini kita melihat perenang juga menjadi ikon, kita masukkan beliau ke dalam agensi bawah kita seperti Pandelela supaya beliau menjadi ikon di Kementerian Perpaduan Negara,” tambahnya.
Untuk rekod, penerjun dari Sarawak berusia 29 tahun itu pernah menjadi Ikon Belia Sukan Negeri Sarawak pada 2016 dan Ikon Sukan Yakult 2017.
Aaron berkata Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diangkat sebagai ikon perpaduan turut diperkenalkan kepada golongan belia di negara ini melalui Pameran Eksklusif Seniman Agung P. Ramlee pada Mac lepas. – TVS