KUCHING, 3 Mac: Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian optimis Kota Samarahan menjadi koridor metropolis kesihatan pertama Sarawak.
Bersandarkan kepada penubuhan Pusat Kanser Sarawak, Pusat Jantung Sarawak (SHC), Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak, dan Hospital UNIMAS, beliau yakin daerah itu menjadi hab perubatan penting bagi negeri ini pada masa akan datang.
“Tumpuan diberikan kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi atau idea bernas bagi menambah baik kualiti sektor kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Coloproctology 2023 di Hotel Pullman, Kuching pada Jumaat.
Menurutnya, koridor itu akan mewujudkan sebuah ekosistem terbaik untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti UNIMAS dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyumbang kepada keperluan kesihatan semasa.
“Universiti seperti UNIMAS dan UiTM juga berpeluang dalam menyediakan tenaga kerja. Tambahan itu, sebarang perkhidmatan klinikal atau penyelidikan baharu juga dapat disumbangkan melalui Zon Perindustrian Sama Jaya yang terletak di daerah itu,” tambahnya lagi.
Dr Sim menambah graduan perubatan juga dapat melibatkan dalam sektor pembuatan seluruh negeri selain daripada tertumpu kepada Kota Samarahan sahaja.
“Walaupun isu di Kota Samarahan adalah kesesakan lalu lintas, namun dengan setelah siap pembinaan jalan raya di Kota Samarahan, saya yakin Kota Samarahan akan maju dengan adanya pusat-pusat kesihatan yang sedia ada,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Dr. Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak turut mendedahkan bahawa Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) juga bakal berpindah ke daerah berkenaan.
“Apabila SBC berpindah ke sana, maka Sarawak berpotensi membangunkan aplikasi-aplikasi unik daripada sumber kekayaan biologi negeri dalam penjagaan kesihatan.”
“Perkara tersebut telah dirancang rapi oleh pihak kerajaan negeri dibawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” jelasnya. – TVS