KUCHING, 2 Feb: Cadangan pembinaan tiang bendera Malaysia tertinggi negara di Sarawak boleh dilihat sebagai tanda patriotik wilayah ini.
Ketua Bahagian Pelancongan dan Hospitaliti, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), Mark Ferguson berkata, beliau yakin tiang berkenaan kelak akan menjadi struktur ikonik yang akan mengiktiraf segala pencapaian Kerajaan Sarawak.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Tiang bendera tertinggi di Malaysia, struktur ikonik baharu Kuching
- 2. Pembinaan tiang bendera tertinggi negara dibiayai swasta – Pejabat Premier Sarawak
Mengakui terdapat pelbagai reaksi selepas pengumuman projek itu, Mark berkata, ia merupakan perkara biasa kerana setiap rakyat berhak melontarkan pendapat masing – masing.
“Saya difahamkan yang tiang bendera berkenaan akan mencecah ketinggian 99 kaki serta berat kira-kira satu tan.
“Berdasarkan cadangan lokasi pembinaannya yang terletak bertentangan dengan Kuching Waterfront, pastinya ia akan menjadi struktur yang mengagumkan dan memberi nilai tambah kepada landskap di sekitar Sungai Sarawak,” katanya kepada TVS hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembinaan struktur berkenaan menandakan pencapaian Sarawak dalam mendapatkan semula hak dan keistimewaannya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tambah Abdul Karim, ia juga menjadi mercu tanda memperingati kemerdekaan Sarawak yang ke- 60 tahun dan seterusnya generasi baharu akan mengenali sejarah Bumi Kenyalang.
Pada masa sama, Mark turut bersetuju yang Sarawak memerlukan struktur ikonik berkenaan untuk memperingati kemerdekaannya dan peranan dalam pembentukan Malaysia.
“Cara yang baik untuk melakukannya ialah dengan menaikkan bendera kita, setinggi yang boleh,” katanya.
Kepada mereka yang kurang bersetuju, Mark berkata, pembinaan tiang bendera berkenaan tidak membawa implikasi terhadap kewangan kerajaan negeri.
“Saya difahamkan projek ini akan dibiayai oleh sektor swasta. Inilah simbol patriotik orang Sarawak,” katanya. – TVS