KUCHING, 2 Feb: Sarawak perlu melakukan pelaburan lebih kepada sumber pendapatan baharu untuk memastikan hasil pendapatan negeri terus mampan.
Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Datuk Dr Madeline Berma mencadangkan antara pendapatan baharu yang berpotesi ialah sektor hidrogen.
“Sarawak mungkin perlu melihat kepada sumber baharu yang lebih mampan.”
“Antara sektor yang dilihat lebih tersedia adalah pelaburan di dalam sektor hidrogen hijau dan biru,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Baru-baru ini, kerajaan Sarawak menekankan untuk terus memfokuskan kepada penghasilan tenaga hijau dan biru di sini.
Berhubung tenaga biru, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penghsilan hidrogen daripada ammonia selain daripada air antara sumber yang diketengahkan.
Justeru itu, Dr Madeline menzahirkan tahniah kepada Abang Johari atas kepimpinan dan kebolehannya meningkatkan hasil pendapatan Sarawak sebanyak RM11.9 bilion bagi tahun kewangan 2022.
“Tahniah saya ucapkan kepada Premier kita atas kejayaannya meningkatkan pendapatan negeri kepada dua kali ganda sepenjang tempoh empat tahun.
“Bagi saya dalam keadaan krisis ekonomi sekarang, ini adalah pendapatan yang memberansangkan serta pencapaian besar kepada Sarawak,” katanya. -TVS