MIRI, 1 Jan: Seorang wanita berusia 18 tahun cedera parah selepas kereta yang dinaikinya dipercayai terbabas lalu terbalik dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Baram dekat sini petang tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 4.45 petang itu, kemalangan tersebut membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Honda City dan Proton Satria Neo yang dipercayai bertembung di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong telah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.58 petang.
“Seorang penumpang wanita yang berada di dalam kenderaan Honda City mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan anggota badan manakala pemandu lelaki berusia 31 tahun cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dua lelaki yang menaiki kereta Proton Satria Neo merupakan dua anak-beranak hanya mengalami cedera ringan.
Menurut kenyataan itu, kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan Bomba tiba di lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa telah diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum di hantar ke Hospital Miri untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya/
Pasukan keluaran operasi hanya membuat pemantauan dan mengambil maklumat mangsa terlibat.
Operasi ditamatkan pada jam 5.38 petang selepas pasukan Bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat. – TVS



