MIRI, 1 Jan: Projek Dinding Hijau Miri (The Green Wall Of Miri) merupakan mercu tanda hijau dan tempat tarikan pelancongan baharu di Miri sekali gus memberi kesedaran tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar kepada masyarakat di bandar itu.
Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin menggalakkan masyarakat Miri untuk terus mengambil bahagian dalam projek-projek alam sekitar yang akan datang sebagai usaha memuliharanya.
“Ini adalah satu projek yang saya sokong sejak pertengahan tahun lepas mencadangkan persatuan ini mengadakan projek tersebuti. Kita juga mahu masyarakat Miri mengambil bahagian dan kita perlu mengadakan projek menjadi projek yang telah dicadangkan iaitu Projek Dinding Hijau Miri ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata demikian semasa menyaksikan penyempurnaan ‘ecobrick’ dari Persatuan Kwong Wai Siew dengan kerjasama Persatuan Peniaga Sekendhend dan Kitar Semula Miri di Golden Restaurant Miri pada hari ini.
Menerusi slogan “Seorang Sebotol, Alam Kita Tidak Kotor”, projek anjuran Persatuan Peniaga Sekendhend Dan Kitar Semula Miri dijayakan dengan kerjasama daripada pelbagai sekolah dan persatuan di Miri.
Antara yang terlibat seperti Persatuan Kwong Wai Siew yang merupakan persatuan bukan kerajaan (NGO) pertama yang terlibat dengan menyumbangkan 500 botol ecobrick kepada pihak penganjur.
Persatuan penganjur ini bermatlamat untuk mendapatkan lebih 20,000 ecobrick supaya mereka dapat mencatat rekod ke dalam Guinness World Records.
Pada masa sama, Kim Shin turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 5,000 kepada Persatuan Kwong Wai Siew dan RM 20,000 kepada Persatuan Peniaga Sekendhend Dan Kitar Semula Miri untuk Projek Ecobrick tersebut. – TVS