Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol memotong kek hari jadinya bersama staf UKAS dan warga media pada Majlis Makan Malam Unit Komunikasi Awam Sarawak di Kuching pada Ahad malam.

Hentikan polemik politik, tadbir negara, urus kebajikan rakyat dengan segera – Abdullah

KUCHING, 12 Dis: Beri peluang kepada Kabinet Persekutuan untuk melaksanakan tugas mereka, polemik politik yang berterusan akan merugikan negara dan meresahkan rakyat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol.

Menurutnya, Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini harus segera memberi tumpuan ke arah pelaksanaan polisi-polisi yang mampu memulih dan mengukuhkan ekonomi negara supaya agenda pembangunan serta kebajikan rakyat dapat diuruskan dengan berkesan.

“Pilihan dan tindakan Gabungan Parti Sarawak (dalam pembentukan Kabinet Persekutuan) adalah atas dasar untuk memastikan kestabilan politik dapat dibentuk dan jentera pentadbiran negara dapat digerakkan dengan segera.

“Setelah pilihan raya negeri dan parlimen selesai, urusan negara serta kebajikan rakyat sepatutnya diutamakan melebihi kepentingan politik yang hanya bertumpu tentang isu perebutan kuasa dan pangkat,” katanya yang ditemui pada Majlis Makan Malam Unit Komunikasi Awam Sarawak di sini pada Ahad malam.

Menurutnya lagi, rakyat sudah muak dengan polemik politik yang tidak menjurus kepada kebajikan mereka, sebaliknya cuma memberi tumpuan terhadap isu pangkat dan kuasa.

“Eloklah kita memberi sokongan kepada Kabinet Persekutuan dan memastikan pentadbiran dan maruah negara terjaga. Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan perlu menjalinkan kerjasama lebih akrab dalam memastikan agenda pembangunan negara dan kebajikan rakyat terjaga,” ujarnya.

Abdullah berkata lagi, Kerajaan Sarawak akan memberi kerjasama yang diperlukan dengan pentadbiran Persekutuan demi memastikan setiap urusan yang melibatkan kesejahteraan bersama dapat diurus dengan cekap.

Beliau juga yakin majoriti rakyat Malaysia tidak sabar untuk menyaksi dan menilai kesungguhan serta keupayaan pemimpin utama negara mengurus dan membaik pulih kedudukan negara.

“Jika rakyat kecewa dengan prestasi serta hasil kerja kepimpinan yang ada, saya yakin rakyat akan menunjukkan penilaian mereka dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Mengenai pelantikan anggota Kabinet Persekutuan dan Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak, beliau berkata mereka yang terbabit diyakini berupaya melaksanakan tanggungjawab dengan bijak dan cekap.

Kabinet Persekutuan memerlukan anggota yang bijak dan cekap memandangkan negara dijangka berhadapan cabaran ekonomi, justeru Kabinet Persekutuan wajar fokus dalam menanganinya.

Mengenai pelantikan Dato Sri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata rakyat Sarawak sudah tentu merasa bangga bukan sekadar kerana sejarah tercipta sebagai anak Sarawak pertama dilantik ke jawatan tersebut, tetapi ia juga harus diterima sebagai pengiktirafan kedudukan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang membentuk Malaysia.

“Pelantikan tersebut juga adalah bukti kemampuan pengaruh Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meneruskan agenda mempertahan dan menuntut hak dan kepentingan Sarawak,” katanya.

GPS merupakan parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November lepas.

Anwar melantik lima Menteri dan enam Timbalan Menteri daripada GPS. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan