KUCHING, 12 Dis: Industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Sarawak adalah satu-satunya teknologi yang mampu mengurangkan pelepasan karbon berskala besar dan teknologi itu dapat dipasang di pelbagai fasiliti dan kilang pembuatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tujuan utama inisiatif CCUS Sarawak diadakan adalah untuk menyokong perniagaan tenaga hijau global yang selaras dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“PETROS telah dilantik untuk mengurus sumber CCUS kerana mereka mempunyai kepakaran dan pengetahuan dalam hal ini. Mereka juga akan disokong oleh dua kementerian yang terdiri daripada Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar dan juga Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar.
“Untuk tujuan ini, kerajaan juga telah mengemas kini Kanun Tanah Sarawak dan membangunkan Piawaian Tangkapan dan Penyimpanan Karbon bagi mengawal selia peluang perniagaan baharu ini,” katanya.
Abang Johari berkata lagi, adalah penting untuk melibatkan diri dalam proses pelbagai hala bagi menangani perubahan iklim global yang membahayakan kesejahteraan manusia dan bumi kerana beberapa tahun akan datang adalah kritikal untuk bertindak demi masa depan yang mampan untuk semua.
“Sekiranya ditangguhkan ia akan mencetuskan kesan perubahan iklim yang teruk. Mengubah haluan memerlukan usaha segera, bercita-cita tinggi dan bersepadu untuk mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bersama POSCO Group bagi membangunkan industri CCUS di Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Pemangku Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Sarawak, PETROS, Anyi Ngau bersama Naib Presiden Eksekutif POSCO Group, Cho Ju-ik, Ketua Unit Perniagaan Bisnes Hidrogen POSCO (Kejuruteraan dan Pembinaan), Jeong Woo Sik dan Ketua Unit Perniagaan Bisnes Hidrogen POSCO (Perbadanan Antarabangsa), Yu Yang Jae.
Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Dr. Hamid Bugo.
Ju-ik dalam ucapannya berkata, POSCO merupakan pelepas utama karbon dioksida di Korea Selatan susulan pemprosesan keluli yang secara semula jadinya menghasilkan gas tersebut.
“Untuk mencapai status bebas karbon menjelang tahun 2050, syarikat kami beralih daripada pembuatan keluli menggunakan relau letupan kepada pembuatan keluli berasaskan hidrogen, pemasangan teknologi CCUS akan membolehkan kami untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida secara langsung.
“Di sinilah kami akan membantu untuk menyokong Sarawak dan PETROS untuk mencapai matlamat bebas karbon (carbon net zero commitments) dan juga matlamat ekonomi yang berteraskan tenaga hijau,” katanya.
POSCO Group merupakan syarikat induk pembuat keluli terbesar Korea Selatan dan konglomerat keenam negara tesebut.
MoU yang ditandatangani hari ini merupakan cetusan idea Abang Johari ketika beliau melawat Pusat POSCO pada September lepas. – TVS



