MIRI, 10 Okt : Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib mengetuai Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak tahun 1444H hari ini.
Bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran, Miri dipilih sebagai tuan rumah untuk sambutan kali ini.
Sebanyak 142 kontinjen menyertai perarakan dengan lapan kategori dipertandingkan.
Antaranya kategori jabatan kerajaan, pakaian seragam, badan berkanun, institusi kewangan, syarikat swasta, masjid, surau, kumpulan hadrah, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), persatuan, kelab, pertubuhan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), institut kemahiran, sekolah menengah, sekolah rendah dan kategori khas.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Secara keseluruhannya, seramai 8,766 orang peserta menyertai perarakan ini.
Laluan perarakan bermula di Stadium Miri ke Jalan Bintang, Jalan Merdu, Jalan Sylvia, Jalan Brooke, Jalan Nakhoda-Gampar, Jalan North Yu Seng, Jalan Merpati, Bulatan Kipas, Jalan Bintang dan kembali semula stadium. – TVS



