KOTA BELUD, 10 Okt : Seorang kanak – kanak lelaki berusia satu tahun ditemukan lemas selepas bot yang dinaikinya karam dalam kejadian di Sungai Nanamun, Kampung Rampayan Laut, di sini, petang semalam.
Mayat Muhammad Hayrul Sufyan Fian ditemukan penduduk kampung yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, sembilan lagi penumpang bot berkenaan selamat.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu pada pukul 2.22 petang.
“Seramai tiga anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) bergegas ke lokasi kejadian dengan satu kenderaan utiliti pacuan empat roda, bot penyelamat dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Pasukan bomba melaksanakan SAR dengan bantuan anggota polis dan penduduk kampung,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam kejadian kira – kira pukul 2 petang itu, difahamkan terdapat empat lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan tiga kanak kanak menaiki bot itu dari Pulau Mantanani ke Kampung Rampayan Laut.
Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, bot tiba-tiba karam dan menyebabkan seorang mangsa hilang sebelum ditemukan lemas. -TVS



