KUALA LUMPUR, 10 Okt : Perdana Menteri mengumumkan Parlimen dibubarkan hari ini selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman itu menerusi ucapan secara langsung di saluran televisyen dan media dalam talian bermula pukul 3 petang tadi.
Dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, beliau sudah menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari semalam bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.
“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya supaya Parlimen Ke- 14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,”katanya.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri beliau mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing- masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing- masing.
BERITA LANJUT MENYUSUL. -TVS



