KUCHING, 10 Okt : Dato Sri Fadillah Yusof berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersedia untuk mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau yang juga Ketua Whip GPS berkata, pengalaman ketika Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak pada tahun lepas membantu gabungan itu mengatur gerak kerja.
Baca artikel berkaitan > > > TERKINI : Parlimen dibubarkan hari ini – Ismail Sabri
“Jentera kami (GPS) sudah diarahkan untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Program Rindok Ati Bersama Media dan Komuniti di Petrajaya, di sini, hari ini.
Sebentar tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan hari ini selepas mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sehubungan itu, PRU-15 dijangka akan dilangsungkan dalam tempoh 60 hari.
Sementara itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petrajaya memaklumkan, terdapat penyandang kerusi yang menawarkan diri untuk tidak bertanding pada PRU-15.
Sehubungan itu, GPS katanya akan membariskan calon muka baharu.
“Namun berapa orang (muka baharu) saya tidak pasti,” katanya. -TVS


