LIMBANG, 5 Mei: Kes kebakaran membabitkan bangunan dan kenderaan di daerah ini menurun dengan drastik dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Hingga Mei, Limbang hanya mencatatkan sebanyak empat kes berbanding 12 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Penolong Penguasa Bomba Clarence D. Primus Tiandun, berkata, angka itu menunjukkan penurunan ketara, khususnya kes yang membabitkan bangunan di kawasan bandar.
“Setakat ini, kita jarang menerima kes di luar bandar dan pedalaman, yang ada kes di Ulu Medamit sedikit masa lalu.
“Bagaimanapun, itu bukan bermakna penduduk harus bersikap sambil lewa. Mereka perlu sentiasa berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui di sini semalam (Rabu).
Dalam pada itu, tidak dinafikan, komitmen tinggi BBP Limbang dalam usaha menyedarkan masyarakat tentang bahaya kebakaran menjadi penyumbang utama kepada penurunan ketara kes di daerah itu.
Program yang dilaksanakan termasuk demonstrasi, kempen dan ceramah yang dilaksanakan secara berterusan membabitkan penyertaan pelbagai peringkat masyarakat.
“Sebahagian besar kes berlaku di kawasan bandar. Bagaimanapun masyarakat, khususnya di pedalaman dan luar bandar Limbang, tidak boleh bersikap sambil lewa kerana musibah boleh berlaku pada bila bila masa dan di mana-mana sahaja,” ujarnya.
Sehubungan itu, Clarence mengingatkan masyarakat Limbang agar sentiasa memberi perhatian kepada aspek pencegahan dan keselamatan di kawasan masing-masing. – TVS



