KUCHING, 5 Mei : Kesemua 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya akan dipertandingkan oleh calon-calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS, memaklumkan perkara berkenaan ketika diminta mengulas sama ada pihaknya akan memberi laluan kepada parti atau gabungan dari Semenanjung, mahupun parti yang mesra dengannya.
“Saya sudah beritahu sebelum ini bahawa GPS akan mengisi kesemua 31 kerusi Parlimen pada PRU Ke-15 nanti,” tegasnya.
Untuk rekod, Parti Pribumi Bersatu Malaysia kini menduduki dua kerusi Parlimen di Sarawak, iaitu Puncak Borneo (Datuk Willie Mongin) dan Saratok (Datuk Ali Biju).
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tarikh pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti, Abang Johari percaya Kerajaan Persekutuan akan menangani perkara itu tepat pada masanya.
“Saya serahkan kepada Kerajaan Persekutuan, dan Dato Sri Dr Wan Junaidi lebih arif dalam perkara ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memaklumkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada persidangan khas Dewan Rakyat, dengan tarikhnya yang akan diputuskan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, terdapat beberapa cadangan tarikh bagi pembentangan tersebut sebelum ini namun ia perlu diputuskan oleh Perdana Menteri terlebih dahulu. – TVS


