KUCHING, 3 Mac: Sarawak dijangka akan mengguna pakai aplikasi teknologi digital hartanah bagi memacu sektor berkenaan di negeri ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee berkata , sistem berkenaan akan dibina menerusi kerjasama membabitkan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) dengan platform perkhidmatan hartanah, MHub.
Ujar beliau, kerjasama yang dijalin itu juga sebagai langkah bergerak maju ke arah era pendigitalan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang kini memberi fokus kepada ekonomi digital.
“Menerusi teknologi ini, kita boleh pergi jauh apabila memanfaatkan digitalisasi.
Ini diyakini akan memudahkan urusan pihak berkepentingan termasuklah pemaju, kontraktor dan pembeli,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara SHEDA dan MHub, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Micheal Tiang berkata, menerusi pendigitalan juga, ia akan membantu kerajaan negeri mempunyai sistem pemantauan yang lebih baik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHub, Quek Wee Siong memberi jaminan sistem berkenaan akan diwujudkan dalam tempoh setahun.
“Pada fasa pertama, kami berharap akan dapat melancarkannya dalam tempoh lapan bulan atau setahun.
Seterusnya, syarikat akan meluaskan penglibatan pihak berkepentingan menerusi SHEDA dan juga kontraktor,” katanya.
Jelas Wee Siong, pihaknya memerlukan input dan maklum balas yang berterusan daripada pihak berkepentingan bagi membina produk yang kekal relevan kepada industri. – TVS



