JULAU, 2 Feb: Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau kehilangan seorang pegawai kanannya, ASP Colony Kiai, setelah mendiang bertarung nyawa hampir dua bulan sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan, Andam Sulin, berkata mendiang yang berusia 47 tahun merupakan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Julau.
Menurutnya, warga IPD Julau menerima berita sedih tentang pemergian ASP Colony Kiai pada malam Selasa.
“Dengan kesempatan ini, saya bagi pihak seluruh warga IPD Julau ingin mengucapkan takziah terutamanya kepada isteri mendiang Puan Judy Karin dan seluruh ahli keluarga
mendiang yang telah meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada jam 10.30 malam tadi,” katanya ketika dihubungi TVS pada hari ini.
Sebelum ini, katanya, mendiang menerima rawatan di Hospital Sarikei sebelum dipindahkan ke HUS dengan menggunakan helikopter pada 13 Disember tahun lalu.
Andam menambah, mendiang Colony terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan balik daripada tugas pemantauan kempen pilihan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.47 Pakan pada 7 Disember lalu.
Beliau mengalami kecederaan parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas di kawasan Kusing, Jalan Pakan sekitar jam 9.15 malam itu.
Menurut Andam, mendiang merupakan seorang pegawai yang sangat berdedikasi, berdisiplin dan menjalankan tugasnya dengan penuh amanah.
Mendiang meninggalkan empat cahaya mata berusia 13 hingga 21 tahun dan seorang balu Judy Karin.
Mendiang telah berkhidimat dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia selama 25 tahun dan berkhidmat selama lebih kurang lima tahun di IPD Julau.
“Mendiang dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian St lawrence, Jalan Sabu, Sri Aman pada tarikh yang terdekat ini,” ujar Andam. – TVS



