KUCHING, 11 Nov : Seiring dengan aspirasi kerajaan negeri Sarawak untuk memperkasakan ekonomi digital, komitmen berkenaan diperkukuhkan dengan pelancaran aplikasi dBazzar , iaitu platform beli – belah dalam talian.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dBazzar diyakini mampu memacu sektor ekonomi digital dengan menjadi medium penting untuk memasarkan produk keluaran negeri ini ke pasaran antarabangsa.
“ Sarawak kini sedang berusaha untuk mewujudkan kemudahan infrastruktur lengkap termasuk sistem penghantaran yang membolehkan pelanggan di luar negara membeli produk tempatan yang dapat dihantar terus pada masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan aplikasi berkenaan di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Mengulas lanjut mengenai potensi e-dagang di Sarawak, Abang Johari berkata, negeri ini mempunyai pelbagai produk menarik termasuklah Pua Kumbu yang mendapat permintaan tinggi dari luar negara.
” Sehubungan itu, pemain sektor ini memerlukan infrastruktur termasuk sambungan internet berkelajuan tinggi pada era 5G untuk membantu melonjakkan lagi potensinya,”katanya.
Pada masa sama, Ketua Menteri tidak menolak kemampuan dBazzar untuk muncul sebagai platform gergasi setanding Alibaba berdasarkan keupayaan untuk menarik ramai penjual dan pengguna dalam masa singkat.

Mula dilancarkan pada awal tahun ini , sehingga kini dBazzar mempunyai seramai 23 ,000 pengguna berdaftar dan lebih 2,700 peniaga yang menjual pelbagai produk masing – masing.
Antara inisiatif DBazaar adalah Kampung to Kitchen atau K2K bagi membantu peniaga di luar bandar untuk menjual dan memasarkan produk masing – masing dan setakat ini mempunyai cawangan di Miri, Bintulu, Sibu, Sarikei dan Kapit.
Bagi peniaga makanan dan minuman, mereka hanya perlu membayar yuran sebanyak 10 peratus untuk nilai transaksi manakala bagi perkhidmatan lain bayaran adalah serendah 0.5 peratus untuk perkhidmatan yang dibangunkan dengan kerjasama Sarawak Pay. -TVS



